4.6 Kelebihan Pembelajaran Berasaskan Web
Menurut Horton (2000), terdapat beberapa pembelajaran berasaskan web yang efektif telah dibangunkan berasaskan kepada teori pembelajaran yang popular pada masa kini. Tetapi persoalan asas yang perlu diambil kira adalah: Bagaimana teori pembelajaran tersebut dapat diaplikasikan di dalam pembelajaran berasaskan web? Untuk menjawab persoalan tersebut, beberapa aspek perlu diambil kira sebelum sesebuah laman web dibangunkan.
Terdapat beberapa kelebihan pembelajaran berasaskan web yang dikenalpasti dan disenaraikan seperti berikut:
4.6.1 Mencapai keberkesanan yang maksimum dalam proses pembelajaran.
Dale (1946) telah mengemukakan pendapatnya dalam teori pembelajaran manusia yang disebut sebagai ‘Cone of Experience’ (Kon Pengalaman). Dalam teori ini Dale memperjelaskan kesan media yang berbeza dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat mengubah kefahaman pelajar daripada sukar kepada yang lebih mudah. Menurutnya, pengunaan teknologi moden dalam pengajaran memaksimakan penguasaan pelajar. Teori Dale ini telah mengubah persepsi ahli pendidikan tentang pentingnya penggunaan media dalam pengajaran dan pembelajaran.
E-pembelajaran menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan membantu pelajar supaya lebih kreatif dalam memperolehi ilmu. Pendekatan ini juga bersifat komprehensif dan global serta pembelajaran menjadi lebih fleksible. Ia membantu menarik minat pelajar bagi sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Tumpuan pelajar terhadap bahan yang disampaikan akan lebih baik kerana proses pengulangan dapat dilakukan bergantung kepada kemampuan dan keperluan pelajar itu sendiri.
4.6.2 Pembelajaran yang maksima dalam jangka waktu yang singkat dan kos yang minima.
Pembelajaran melalui laman web dapat memberikan ruang untuk pelaksanaan kandungan kurikulum dalam waktu yang lebih singkat walaupun waktu yang diperlukan untuk pembelajaran mungkin lebih sedikit berbanding pembelajaran secara tradisional. Dalam sistem tradisional, ketidakhadiran pelajar atau guru dan pelbagai gangguan lain boleh menyebabkan iklim pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak stabil.
Melalui E-Pembelajaran Interaktif, masalah berkaitan penyampaian pengajaran kepada pelajar dapat diatasi kerana mereka dapat mengikutinya walau di mana sekalipun mereka berada asalkan mereka boleh mengakses internet (E-belajar, 2002).
E-pembelajaran juga menjimatkan masa untuk berulang alik ke tempat pembelajaran yang khusus. Pembelajaran melalui internet juga boleh menjimatkan kos kerana penggunaannya yang fleksible dan pembelajaran dapat dicapai pada bila-bila masa dari mana-mana tempat, selain pelajar boleh mendapat kandungan kursus dengan rentak dan corak pembelajaran sendiri (Asni, 2002).
Walaupun pada awalnya seseorang pelajar memerlukan modal untuk menyediakan prasarana pembelajaran secara moden ini, pulangan yang akan diperolehi adalah berbaloi dan untuk jangka masa panjang. Pengguna boleh berkongsi menggunakan perisian serta fail. Perkongsian, penyalinan serta penghantaran perisian serta fail dapat dilaksanakan secara talian. Ini bermakna pengguna tidak perlu menghabiskan modal yang banyak untuk memiliki perisian bagi setiap unit komputer mereka. Pengguna hanya perlu membeli sebuah perisian versi rangkaian yang sudah memadai untuk semua komputer yang terdapat di dalam rangkaian tersebut dan menggunakannya.
4.6.3 Kesejagatan sumber pembelajaran.
Seterusnya, aspek kemampuan para pengguna rangkaian berhubung serta berkomunikasi di antara satu sama lain dititikberatkan. Pengguna juga boleh bertukar-tukar mesej atau pesanan melalui mel eletronik (e-mail) serta lama sembang (chat). Internet juga membolehkan pelajar-pelajar khasnya mencari pelbagai variasi maklumat yang mereka inginkan mengenai apa sahaja maklumat yang diperlukan dari seluruh dunia dengan hanya melayari internet.
Laman web juga berupaya menghubungkan pengguna komputer dari merata pelusuk dunia. Pengguna juga boleh berkongsi maklumat dengan pengguna lain melalui pembinaan laman web supaya berjuta-juta orang yang tidak dikenali dapat membacanya. Modul E-Pembelajaran Interaktif yang diperkenalkan merupakan suatu alternatif bagaimana sumber maklumat boleh digarap untuk disampaikan secara elektronik kepada semua orang.
Penerbitan dalam laman web akan memudahkan pencarian maklumat (information retrieval) oleh pelajar. Dari seluruh dunia, sesiapa pun boleh menggunakan carian gelintaran atau search engine untuk mencari maklumat yang dikehendaki dan maklumat itu boleh dibaca oleh orang ramai secara serentak.
4.6.4 Memupuk Semangat Belajar Berkumpulan
Melalui web, penggunaan e-mel memupuk semangat belajar secara berkumpulan dan pelajar berusaha untuk meneroka alam yang baru ditemui. Penemuan baru ini membawa perubahan kepada pelajar di mana pelajar akan menjadi lebih mahir membuat kajian dan berfikiran kritikal. Melalui penggunaan e-mel setiap pelajar akan mempunyai alamat mereka sendiri bagi memudahkan pelajar yang lain bertukar-tukar nota pelajaran, sesi soal jawab masalah yanag dihadapi mengenai mata pelajaran dan sebagainya.
Selain itu, forum atau laman perbincangan yang disediakan membolehkan pelajar memberi dan bertukar pendapat antara pelajar yang lain. Aktiviti perbincangan ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar berdasarkan topik perbincangan yang dilakukan.
4.6.5 Pembelajaran Dengan Cara Yang Mudah
Pengajaran dan pembelajaran berasaskan web juga dapat menyediakan kemudahan komunikasi sinkroni misalnya melalui sesi perbualan atau chatting. Kemudahan seperti ini dapat menyediakan peluang kepada pengguna berkomunikasi dan berkerjasama merentasi jarak yang jauh. Komunikasi sinkroni membolehkan interaksi berlaku pada masa sebenar antara pelajar seperti berada secara langsung. Pembelajaran web amat mudah untuk difahami dan diuruskan. Sesiapa pun boleh mengendalikan laman web tanpa kemahiran dalam pengaturcaraan komputer.
4.6.6 Bank Soalan berasaskan web atas talian
Menurut Donagher et al. (1998), antara beberapa kelebihan Bank Soalan berasaskan web atas talian ialah seperti berikut:
i. Bahan atau maklumat yang terdapat di dalam bank soalan boleh ditempatkan pada halaman web dan pengemaskinian boleh dilakukan dari semasa ke semasa tanpa wujudnya kekangan masa dan tempat.
ii. Paparan antara muka pengguna juga lebih bersifat mesra pengguna dan mudah untuk dilayari. Dengan itu, maklumat yang terdapat pada bank soalan boleh dicapai dengan mudah.
iii. Sebarang perubahan pada sistem perlu dilakukan pada pelayan sahaja tanpa melibatkan bahagian lain.
iv. Pelayar web menyokong pelantar yang berbeza dan ini membolehkan pengguna memperolehi maklumat dengan menggunakan pelayar yang biasa digunakan.
No comments:
Post a Comment