tajuk : Konsep Akhlak menurut perspektif Islam...
Pendahuluan
Peranan akhlak dalam pembinaan sahsiah seseorang tidak boleh dinafikan lagi kepentingannya. Proses pembentukannya adalah selaras dengan perkembangan jiwa seseorang itu sendiri. Menurut Ghazali Darusalam, dalam kitab Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah menyatakan, pengertian akhlak boleh ditinjau daripada beberapa segi sama ada daripada pandangan falsafah Islam,tokoh-tokoh agama, al-Quran,hadith dan sebagainya.
Mengikut kamus al-mukhit akhlak berasal daripada kalimah al-khuluq yang membawa empat pengertian iaitu perangai, tabiat, maruah dan agama. Manakala mengikut kamus lisan al-Arabi, akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang telah menjadi tabiat dan merupakan satu gambaran bagi menunjukkan zahir dan batin seseorang.
Akhlak dari segi bahasa membawa erti budi pekerti, adab sopan, tingkah laku, dan tatasusila. Mengikut tokoh-tokoh ilmu psikologi Islam, takrif akhlak perlu dilihat dari dua sudut. Pertama Bataniah iaitu akhlak merupakan satu ilmu yang membahaskan masalah- masalah dalaman manusia khasnya yang mengupas hal-hal kejiwaan. Manakala dari suluq Azzahariah, akhlak ialah satu cara atau jalan yang memperlihatkan sesuatu yang berbentuk zahir. Sama ada dari segi tutur kata, tingkah laku dan perangai boleh menjadi ukuran peribadinya.
Menurut ahli falsafah Islam dalam kitab Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah yang dikarang oleh Ghazali (1997), mengatakan akhlak mengandungi tiga maksud mengikut aliran-aliran tertentu. Antaranya akal fikiran yang memancarkan akhlak, akal yang dipandu oleh wahyu para nabi dan rasul akan melahirkan akhlak yang bersih dan terpuji. Selain itu, akhlak dari segi roh membawa maksud pengambilan berat terhadap pembersihan jiwa, pembaikpulihan batin, pembersihan akal fikiran, serta pembersihan akal fikiran secara mujahadah. Manakala aliran seterusnya mengikut gabungan dua perkara ini membawa kepada dua konsep iaitu menerusi aliran falsafah dan tasawuf.
Jelaslah bahawa akhlak merupakan satu gambaran daripada prinsip-prinsip dan kaedah yang tersusun bagi tindak-tanduk manusia yang telah diatur oleh wahyu bagi kehidupan manusia untuk mencapai matlamat. Adanya manusia dalam dunia ini serta bertujuan mencapai tahap –tahap manusia yang sempurna. Akhlak juga sebagai asas dalam akidah dan syariah. Tanpanya laksana satu badan yang tidak ada roh.
Isi-isi penting.
a) Sumber pembentukan Akhlak dari segi al-Quran dan Hadith.
Al-Quran al-karim bukan sahaja satu kitab yang membicarakan masalah-masalah hukum Allah, politik, pendidikan bahkan ia juga menyingkap bidang-bidang sosiologi khasnya pembentukan sahsiah seseorang insan dan sesebuah masyarakat. Sumber utama rujukan ilmu akhlak ialah kitabullah yang menghuraikan secara terperinci dan jitu.
Dalam kamus Quran al-Mu’jam dimuatkan ayat al-Quran yang membawa maksud al-khuluq. Firman Allah yang membawa maksud: Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung (surah al-Qalam 68:4). Berdasarkan maksud ayat di atas, akhlak membawa maksud keperibadian, sahsiah dan sifat-sifat yang merujuk kepada perbuatan mulia.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud sesungguhnya ini(agama) tidak lain hanyalah kelakuan orang terdahulu ( surah al- Assyurarak 26: 137). Ayat tersebut mengatakan akhlak sebagai tabiat manusia yang sememangnya dijadikan oleh Allah dengan memiliki tabiat-tabiat tertentu yang menjadi kelaziman.
Secara keseluruhannya, akhlak yang disebut dalam al-Quran merupakan ajaran dan tingkah laku yang baik lebih tinggi kedudukannya daripada moral. Al-Quran adalah sumbert utama penggalian ilmu akhlak untuk memahami akhlak manusia.
Akhlak yang dihuraikan oleh al-Quran dijelaskan lagi menerusi hadith rasulullah s.a.w, Anas r.a meriwayatkan sebuah hadith yang diambil rasulullah dalam kata-kata Syaidatina Aisyah : Nabi Muhammad itu semulia-mulia manusia daripada sudut akhlaknya.
Akhlak tersebut yang menjelaskan satu perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada perkataan, perbuatan dan nafsu yang keji. Ada akhlak yang terpuji dan akhlak tercela. Hadith ialah sumber kedua akhlak Islam, disinilah ajaran-ajaran akhlak Islam terserlah dengan jelasnya melalui amalan. Orang yang berakhlak ialah golongan yang beriman dengan sifat-sifat dalam akhlak seperti malu,sabar,pembersih dan sebagainya.
Seorang lagi tokoh hadith iaitu Abu Hurairah antara lain menyifatkan hadith-hadith yang diriwayatkanya membawa akhlak sebagai rasa keimanan dan kemuncak keimanan sebenar. (Ghazali (1997). Dinamika Ilmu akhlak Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. )
Dalam kitab Pendidikan Akhlak dan Adab Islam konsep dan Amalan yang dikarang oleh Asmawati Suhid (2009), menyatakan bahawa sumber utama bagi akhlak dalam Islam ialah wahyu Allah iaitu Al-Quran dan hadith. Kedua-dua ini membentuk sesuatu konsep serta memelihara akhlak manusia dalam kehidupan seharian. Al-Quran mengajarkan manusia bagaimana sepatutnya bertingkah laku dan bertindak dengan betul dan berakhlak.
Al-Quran juga merupakan sumber utama dalam menentukan nilai-nilai akhlak yang mulia dalam kehidupan.
Hadis juga merupakan sumber kedua selepas al-Quran dalam pengambilan ilmu akhlak Islam. Sebagaimana contoh kepada Rasulullah yang merupakan model atau contoh terbaik sebagai ikutan umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Akhlak yang diamal dan dipamerkan oleh Rasulullah S.A.W yang berteraskan akidah Islam jelas sekali amat luhur dan murni.
b) Ciri-ciri akhlak Islam
Dalam kitab Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah, Ghazali menyatakan ciri-ciri akhlak yang terdapat dalam Islam. Antaranya, pertama umum dan mendalam. Islam menyeru umatnya supaya berakhlak mulia tidak kira di mana mereka berada dan bukan pada masa-masa tertentu sahaja. Kedua ialah sempurna yang mana ianya merangkumi semua aspek kehidupan manusia dari segi rohani atau jasmani dan gerak laku manusia keseluruhannya.
Ketiga pula sejagat dan selari dengan konsep dan metod sesuatu matlamat. Islam menolak sesuatu perkara yang matlamatnya baik tetapi perlaksanaannya tidak baik. Ciri seterusnya ialah mendapat ganjaran yang mana Islam menyediakan balasan yang setimpal dengan perbuatan manusia sama ada buruk atau yang baik. Selain itu, mestilah aspek keperluan rohani dan jasmani seimbang dan nyata dalam sistem Islam.( m/s 65 : terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd)
c) Cara mencapai akhlak yang baik
Banyak cara untuk mencapai akhlak yang baik. Antaranya ialah kurniaan Allah secara semulajadi yang mana dijelaskan bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu. Allah juga mampu mencipta sesuatu yang unik penciptaannya kepada manusia.
Untuk mengusahakan akhlak yang baik seseorang itu juga boleh membuat latihan amali seperti membiasakan diri dengan sifat-sifat yang baik dan membuang sifat buruk. Selain itu, dengan cara mengenal keaiban diri iaitu dengan sentiasa muhasabah dan membuat refleksi diri untuk menyemak kembali apa yang telah dibuat sepanjang hari. Selain itu, dengan mengamalkan amalan-amalan harian seperti membaca al-Quran dan memahami pengertiannya, qiamullail dan sebagainya. (Ghazali Darusalam. Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah. (1997). Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. m/s 157-177)
d) Kelebihan Akhlak menurut Islam
Antara kelebihannya ialah seseorang yang mengamalkan sifat ikhlas akan dapat menghindarkan dirinya daripada terpengaruh hasutan syaitan. Ia juga sebagai benteng kebal daripada penguasaan syaitan terhadap diri seseorang. Segala amalan yang dibuat juga diterima oleh Allah.
Selain itu, ia juga dapat menenangkan jiwa dan memperbaiki akhlak serta menambahkan keimanan dalam diri seseorang. Tujuannya menjadi pendorong untuk beramal dengan akhlak dan bersungguh-sungguh melakukan sesuatu perkara itu. (Ghazali Darusalam. Sifat-sifat Mahmudah dan Mazmumah: Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah. (1997). Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. m/s 89-104)
Kesimpulan
Akhlak Islam mengajar manusia untuk melahirkan keharmonian dan kesejahteraan hidup sesuai dengan maksud Islam itu sendiri yang bererti selamat, sejahtera, aman dan damai. ( Kitab Dinamika Ilmu akhlak Islamiah, m/s 222)
Akhlak yang baik menjamin kesantunan peribadi dan jemaah yang lain. Selain itu, sesuatu amalan yang ada nilai yang tinggi menjamin keselamatan dan keamanan serta kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Amalan yang terpancar daripada keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya terangkum dalam istilah ibadah berpandukan nilai-nilai akhlak yang mulia. (Abdul Rahman Rukaini. Siri teras ‘Ulum Islamiah: Akhlak membangun jati diri. (2001). Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia)
Dengan berakhlak mulia dapat meningkatkan kualiti amal ibadah dan mendapatkan keampunan Allah S. W.T serta mendapat rahmat dan cahaya daripada Allah S.W.T. Selain itu, perumpamaan yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis menunjukkan betapa pentingnya akhlak yang baik dan terpuji itu untuk memastikan lahirnya kehidupan yang aman dan bahagia.
RUJUKAN
Al-Quran al- Karim
Abdul Rahman Rukaini. Siri Teras ‘Ulum Islamiah : Akhlak membangun Jati Diri. 2001. Selangor. Synergymate Sdn. Bhd.
Asmawati Suhid. Pendidikan Akhlak dan Adab Islam: Konsep dan Amalan. 2009. Kuala Lumpur. Utusan Publications Dan Distributors Sdn. Bhd.
Fariza Md. Sham, Salasiah Hanin Hamjah & Mohd. Jurairi Sharifudin. Personaliti dari Perspektif Al-Ghazali. 2008. Fakulti Pengajian Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.
Ghazali darusalam. Siri pengajian dan Pendidikan Utusan: Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah. .1997. Kuala Lumpur. Utusan Publications Dan Distributors Sdn. Bhd.
Imam Jaafar as-syuthi. Adab dan peribadi seorang Muslim. Kuala Lumpur. Serambi Timur Sdn.Bhd.
Muhammad Al-Ghazali. Akhlak Seorang Muslim. 2002. Kuala Lumpur. Crescent News Sdn.Bhd.
Mahmud al-Mishri. Ensiklopedia Akhlak Muhammad SAW. 2009. Jakarta. Pena Pundi Aksara.
" SESUNGGUHNYA ORANG TERBAIK DI ANTARA KALIAN ADALAH YANG MEMILIKI AKHLAK TERPUJI"
by : cahaya petunjuk....