Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum...Selamat datang..Welcome to our page.".KumPulAn UnCang EmAs"..

Monday, June 7, 2010

TUGASAN INDIVIDU- KERTAS KERJA

TAJUK: ISLAM LIBERAL: FAKTOR-FAKTOR KEMUNCULAN PENYEBARAN FAHAMANNYA
PENGENALAN

Perubahan zaman telah menjadikan manusia jauh daripada isi kandungan al-Quran dan al-Sunnah serta kefahaman yang betul mengenainya. Justeru, semakin ramai golongan manusia yang cuba mencemarkan ketulenan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

1.0 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan oleh penulis untuk mengupas tentang bahaya fahaman Islam Liberal. Skop kajian meliputi maksud fahaman Islam Liberal, faktor-faktor yang mendorong kemunculan penyebaran fahaman Islam Liberal serta cadangan yang disarankan oleh penulis. Aspek ini dipilih kerana masih ramai umat Islam yang tidak menyedari bahayanya penyebaran fahaman ini. Dengan adanya tujuan yang telah ditetapkan dalam suatu kajian, maka akan lebih memudahkan lagi kajian yang akan dijalankan oleh pengkaji.

2.0 SKOP KAJIAN

Skop kajian adalah mengfokuskan apa yang ingin dikaji oleh penulis dalam bentuk yang lebih khusus. Ini adalah penting untuk memudahkan dan menumpukan kepada masalah yang ingin dikaji. Kajian ini mengfokuskan terhadap faktor-faktor penyebaran fahaman Islam Liberal di Malaysia dan Indonesia.

3.0 KAEDAH KAJIAN

Secara amnya, kaedah kajian adalah kaedah yang akan digunakan sama ada untuk mengumpul data atau menganalisis data. Penghuraian perkara ini sangat penting bagi melihat kaedah-kaedah yang dirangka boleh mencapai objektif yang dicadangkan serta untuk memudahkan dan menghasilkan penulisan yang lebih berkesan. Di antara metode-metode yang digunakan ialah, metode pengumpulan data dan metode penganalisisan data.
Bagi melakukan proses pengumpulan data, penulis telah menggunakan beberapa metode-metode tertentu berdasarkan kesesuaian dengan kajian yang dijalankan. Di antara metode-metode pemgumpulan data yang digunakan oleh penulis ialah metode perpustakaan dan metode dokumentasi.
Di dalam kajian ini, penulis telah menggunakan perkhidmatan perpustakaan bagi mendapatkan maklumat dan bahan-bahan rujukan seperti buku, jurnal, majalah dan sebagainya.
Manakala, metode dokumentasi adalah kaedah utama untuk mendapatkan data dan maklumat daripada pelbagai sumber. Metode ini merupakan kajian yang dibuat menggunakan bahan bertulis yang memberikan keterangan yang jelas berkaitan dengan kajian ini. Melalui kajian ini data-data dan maklumat yang berkaitan diperolehi daripada beberapa dokumen seperti al-Quran, hadith, jurnal, buku-buku, majalah dan sebagainya.

4.0 HASIL KAJIAN

4.1 Pendahuluan

Pada zaman yang serba moden ini, semakin banyak munculnya golongan yang menyimpang daripada iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan melakukan penyimpangan terhadap syariat Islam. Bahkan, semua golongan ini ingin mempertahankan kebenaran fahaman masing-masing dengan mengemukakan pelbagai hujah dan dalil-dalil yang begitu meyakinkan golongan itu sendiri dan masyarakat sekeliling. Sehinggakan tindakan golongan ini telah mengelirukan masyarakat Islam yang tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh.

4.2 Definisi Islam Liberal

Menurut Kamus Dewan, Edisi ketiga Islam bermaksud agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.a.w. Menurut karangan Ahmad Tarmizi pula Islam ialah berasal daripada perkataan Arab yang bererti berserah, tunduk dan patuh. Manakala menurut Ghazali dalam bukunya mengutip pandangan daripada Dr. Abdul Karim Zaidan dalam buku Usul al-Dakwah telah memberi definisi Islam sebagai tunduk, menyerah, dan mentaati Allah. Ketundukan itu hendaklah lahir dari kesedaran, bukan paksaan. Ketundukan kerana paksaan adalah merupakan perkara umum bagi setiap makhluk dan ketundukan seperti ini tidak membuahkan pahala.

4.3 Faktor-faktor Kemunculan Fahaman Islam Liberal

Menurut Ilyas Harun dalam bukunya, golongan Barat memang bijak mengatur strategi penguasaan mereka terhadap bangsa-bangsa lain di dunia ini.

4.3.1 Pengaruh Dunia Barat Terhadap Kefahaman Umat Islam

Golongan Barat sudah mengetahui bahawa orang Islam mudah dipengaruhi. Maka, golongan Barat telah menggunakan inisiatif melalui pemikir liberal ini untuk menjatuhkan Islam. Kebanyakan orang Islam masih kabur dan keliru dengan taktik jahat golongan liberal ini kerana mereka menyerang melalui serangan pemikiran.

Menurut Ghazali Darusalam, golongan Barat sengaja dan sentiasa mendefinisikan Islam secara negatif. Hal ini kerana golongan Barat membenci agama Islam dan mendendami agama Islam, tetapi pengetahuan mereka sangat terbatas mengenai Islam. Dengan pengetahuan yang sedikit itu, golongan Barat mencari pelbagai cara untuk merosakkan Islam.

4.3.2 Mempelajari Islam Dari Negara Barat

Orang Islam yang menyambung pendidikan mereka di negara Barat boleh mempengaruhi pemikiran mereka sebagaimana yang diterapkan dalam masyarakat Barat lebih-lebih lagi pemikiran yang berkaitan dengan ilmu keagamaan. Apabila mereka pulang ke tanah air, golongan ini mula mempraktikkan dan mengemukakan idea-idea baru dalam masyarakat. Malah, terdapat sebilangan mereka yang menubuhkan gerakan tertentu yang berbentuk sekular. Contohnya Nurcholis Madjid atau lebih dikenali sebagai Cak Nur, telah memperkenalkan istilah ‘sekularisasi’ kepada masyarakat Islam Indonesia dengan mendakwa bahawa sekularisasi tidaklah dimaksudkan penerapan sekularisme.

4.3.3 Kelemahan Akidah Umat Islam

Kefahaman yang betul terhadap tuntutan dua kalimah syahadah akan hilang sekiranya Islam tidak difahami bermula daripada persoalan akidah. Sedangkan memahami akidah merupakan teras dan asas sebagai seorang Islam.

4.3.4 Golongan Barat Ingin Menghancurkan Islam

Fahaman Islam liberal sebenarnya adalah salah satu cara ciptaan golongan Yahudi untuk menghancurkan Islam. Menurut Adnan M.Wizan, setelah Barat mengalami kekalahan dalam Perang Salib, golongan Barat mula memikirkan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk menghancurkan Islam. Golongan Barat telah membuat kesimpulan bahawa, orang Islam tidak dapat dikalahkan melalui peperangan.

5.0 CADANGAN

5.1 Golongan Fahaman Islam Liberal

Saranan penulis kepada golongan fahaman Islam liberal ini supaya kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah kerana golongan ini terlalu jauh terseleweng daripada landasan syariat yang sebenar. Penulis juga menyarankan supaya golongan ini tidak mengeluarkan fakta berdasarkan akal rasional mereka semata-mata, tetapi mereka hendaklah merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah supaya tidak merosakkan akidah Islam dan tidak mengelirukan masyarakat awam yang sebahagiannya masih jahil dalam agama.

5.2 Masyarakat

Saranan penulis kepada masyarakat ialah supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu semasa yang banyak mengelirukan pada masa kini, lebih-lebih lagi ramai golongan yang cuba menggunakan label Islam untuk menutup niat jahat mereka

5.3 Keluarga

Selain itu, keluarga juga memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan pemikiran setiap individu. Maka, ibubapa perlu memberi perhatian kepada anak-anak dalam setiap apa yang dilakukan oleh mereka. Bahkan, ibubapa juga perlu memberi didikan agama yang sempurna sejak kecil lagi supaya anak-anak mempunyai pegangan akidah yang kukuh dan tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan ajaran Islam. Apabila seseorang itu mempunyai kefahaman yang kukuh tentang akidah maka seseorang itu akan berpegang teguh dengan Islam dan tidak mudah goyah.

5.4 Individu

Setelah menjalankan kajian ini, penulis menyarankan supaya setiap individu hendaklah sentiasa menuntut ilmu dan ilmu tersebut mestilah tidak menyalahi al-Quran dan al-Sunnah supaya tidak menjadi orang yang cetek ilmu dan mudah diperdayakan oleh orang lain. Apabila individu tersebut mempunyai ilmu dan kafahaman akidah yang kukuh, maka individu tersebut akan tahu menilai apabila menerima sesuatu maklumat.

6.0 PENUTUP

Daripada kajian yang telah dijalankan oleh penulis menunjukkan terdapat empat faktor utama yang mendorong munculnya penyebaran fahaman Islam Liberal.

RUJUKAN

Buku

Al-Quran al-Karim

Abdul Rahman Hj. Abdullah. 1992. Pemikiran Islam Masa Kini, Sejarah Dan Aliran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abi Abdullah Muhammad Bin Yazid Al- Qazaini, 208, Sunan Ibnu Majah, Bierut: Maktabah Al-A’lamiah.

Adam Kupper & Jessica Kupper. t.t. The Social Encylopedia. Jakarta: Pt Raja Granfindo.

Adnan M.Wizan. 2003. Akar Gerakan Orientalisme: Dari Perang Fisik Menuju Perang Fikir. Fajar Pustaka Baru.

Ghazali Darussalam. 1998. Dakwah Islam Dan Ideologi Barat. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Hasan Hamzah. 1997. Kamus Melayu Global. Kuala Lumpur: Piramid Perdana (M) Sdn. Bhd.

Hj. Ahmad Fauzi Hj. Morad & Ahmad Tarmizi Talib. 1997. Tamadun Islam. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Ilyus Harun. 2001. Konspirasi Barat Terhadap Islam Dan Dunia. Kuala Lumpur: USNIE Sdn. Bhd.

Mohammad Kamil bin Hj. Abd. Majid, Fauzi Deraman, Mohd Asri bin Zainul Abidin &Admin Armas. 2006. Islam Liberal, Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong. ShahAlam: Karya Bestari Sdn. Bhd.

Mohd Sulaiman Yasin. 1997. Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah. Bangi: Yayasan Salman.

Mustafa as Siba’i. t.t. Bertemu Muka Dengan Para Orientalis Eropah. Samarang: Wicaksana.

Myrtales. 1996. Eksiklopedia Malaysia. Penerbit: Anzagain Sdn. Bhd.

Sulaiman Nordin. 1995. Islam, Al-Quran Dan Ideologi Masa Kini. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Teuku Iskandar. 2002. Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Kertas Kerja


Dr. Ugi Suharto. 2006. Isu-isu Sentral Dalam Pemikiran Islam Liberal, Kes Indonesia Dan Pengajarannya Untuk Malaysia. Kertas kerja ini dibentangkan di Dewan Bankuet Sri Bestari, Intekma Resort & Convention Centre, anjuran Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor, 23 September, Shah Alam.


Artikel

Muhammad Razak Idris, sunt. 2005. Aliran Islam Liberal: Cabaran Baru Umat Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Majalah

Ahmad Yani Abd. Manaf. 2006. Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong. Majalah I, Ogos.

HASIL NUKILAN: RUSLINA BINTI NORDIN (A121799)

No comments:

Post a Comment